KUALA LUMPUR, 16 April-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjunjung kasih terhadap teguran Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap pihak yang memperalatkan isu agama dan kaum demi kepentingan politik sempit.
Menerusi kenyataan di Facebooknya, Na'im menyifatkan teguran baginda Sultan Perak merupakan peringatan penting kepada seluruh rakyat untuk memelihara perpaduan dan toleransi demi kestabilan negara.
Na'im turut menzahirkan rasa terharunya berhubung pujian baginda terhadap kerjasama Masjid Al-Falah dan Kuil Sri Maha Kaliamman ketika insiden kebakaran kebakaran Putra Heights baru-baru ini yang disifatkan wajar dicontohi kerana menggambarkan akhlak dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
"Ayuh kita tolak budaya politik kebencian dan ekstremisme. Jadikan titah baginda sebagai pedoman untuk membina Malaysia MADANI yang menjunjung kasih sayang, hikmah dan tanggungjawab bersama demi masa depan lebih harmoni dan sejahtera",katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Tambah Na'im, beberapa langkah juga telah diambil oleh kerajaan bagi menguruskan perselisihan dan perbezaan pendapat mengikut adab-adab yang diajarkan dalam Islam.
Semalam, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir pihak yang terus mempolitikkan isu agama dan kaum demi agenda peribadi.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas pada Selasa.