KUALA LUMPUR, 16 April- Seramai 31 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua pusat hiburan sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilakukan selepas risikan selama tiga hari terhadap premis yang disyaki beroperasi sejak dua tahun lalu.
Antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas serta permit.
Menurut beliau, hasil risikan juga mendapati premis terbabit mempergunakan wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan bermula jam 3 petang hingga 2 pagi.
Difahamkan, pelanggan yang berpuas hati akan menyarungkan selempang kepada wanita berkenaan sebagai bentuk ganjaran, dengan nombor pada selempang menunjukkan tahap kepuasan layanan diterima.
Daripada 69 individu yang diperiksa, seramai 31 warga asing berusia 23 hingga 35 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada warga Thailand, Bangladesh, Laos, Vietnam dan Singapura.
Operasi bermula pukul 6 petang itu melibatkan 44 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.