PUTRAJAYA, 16 April- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius tindakan seorang individu yang memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap surah Al-Fatihah di laman Facebook Astro Awani, semalam.
Komen tersebut dipercayai dibuat pada laporan berkaitan majlis penghormatan terakhir Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab serta mempermainkan ajaran Islam, khususnya dalam suasana duka negara memperingati pemergian tokoh negarawan itu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, komen berbentuk provokatif itu bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, bahkan berisiko menjejaskan keharmonian antara agama dan kaum, apatah lagi individu terbabit dipercayai bukan rakyat tempatan.
JAKIM turut menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang bentuk hantaran yang boleh mencetuskan kemarahan atau menggugat kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
“Semua pihak perlu mengamalkan sikap saling menghormati dan peka terhadap sensitiviti agama dan kepercayaan, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan hormat, ihsan, dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.