fb fb fb fb fb

Agong murka kesilapan papar Jalur Gemilang akhbar bahasa Cina

FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 16 April- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara dan tidak wajar dipersendakan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Baginda bertitah bendera bukan sekadar sehelai kain berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, semangat kemerdekaan dan perpaduan rakyat.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Baginda.

Baginda turut menegur pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan agar lebih peka serta melakukan semakan teliti terhadap bahan yang diterbitkan bagi mengelak kesilapan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE