fb fb fb fb fb

Tebedu–Entikong, jadi laluan dagangan antara Malaysia, Indonesia

Pembukaan hostel komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta sambutan ulang tahun ke-70 di Kuching

KUCHING, 14 September - Laluan sempadan Tebedu–Entikong kini diangkat sebagai laluan dagangan antara Malaysia dan Indonesia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu adalah hasil perbincangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto semasa pertemuan bilateral pada Julai lalu.

Beliau menjelaskan, dalam mesyuarat tersebut beliau telah mencadangkan agar pintu sempadan Tebedu–Entikong dijadikan laluan perdagangan, dan cadangan itu dipersetujui pihak Indonesia.

"Pihak berkuasa Indonesia telah bersetuju untuk membuka Tebedu–Entikong sebagai pintu dagangan antara Malaysia dan Indonesia. Dengan ini, laluan tersebut akan menjadi titik perdagangan rasmi kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan hostel komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) serta sambutan ulang tahun ke-70 persatuan itu di sini.

Menurut Tan Sri Abang Johari, laluan ekonomi baharu itu akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor pertanian, perdagangan, perniagaan serta tenaga baharu, selain menyokong usaha membangunkan ekonomi bersepadu di rantau ASEAN.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI