fb fb fb fb fb

Kejayaan komuniti Bidayuh, boleh dijadikan model teladan

Tan Sri Abang Johari Tun Openg/ JAPEN

KUCHING, 14 September - Kejayaan komuniti Bidayuh dalam melahirkan generasi berpendidikan dan berkemahiran tinggi boleh dijadikan model teladan kepada masyarakat lain.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama serta kekuatan hubungan erat dalam kalangan komuniti berkenaan.

Menurutnya, perkara itu dibuktikan menerusi cabaran sepanjang zaman bermula dari zaman kolonial hingga ke era moden dan digital.

Masyarakat Bidayuh berjaya menyesuaikan diri serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai bidang kepakaran yang diperlukan negeri itu.

"Dengan adanya kepelbagaian pembangunan ini, kita memerlukan lebih ramai tenaga mahir. Dalam kalangan komuniti anda, kadar pencapaian akademik adalah antara yang tertinggi.

"Ini bermakna anda terus melahirkan tenaga profesional yang diperlukan negeri hasil daripada kerja keras anda sendiri. Atas sebab itu, anda menjadi teladan kepada komuniti lain," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan hostel komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan sambutan ulang tahun ke-70 persatuan itu di sini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM4 juta bagi melengkapkan fasiliti asrama tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan projek itu bernilai RM20 juta.

Asrama komuniti DBNA mula dibina pada 2021 selepas Premier mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM16 juta ketika Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-65 DBNA pada 2020. Projek itu siap pada 2024 dengan menempatkan bangunan sembilan tingkat yang merangkumi ruang pejabat DBNA, lima unit dormitori dan ruang acara majlis.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI