KUCHING, 14 September - Cadangan memperkenalkan kurikulum bahasa etnik Bidayuh kini berada di peringkat perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pihaknya sudah bersedia untuk melaksanakan usaha itu selain memerlukan bantuan dan sokongan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjayakannya.
"Kami sangat teruja, malah sudah membuat perancangan bersama-sama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan untuk memperkenalkan kurikulum bahasa etnik iaitu bahasa Bidayuh.
"Kami sudah bersedia, namun memerlukan sedikit bantuan, dan saya yakin Premier Sarawak akan dapat membantu kami,"katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis pembukaan hostel komuniti DBNA dan sambutan ulang tahun ke-70 tahun DBNA di sini malam tadi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) berharap isu hak pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (Native Customary Land) dapat disegerakan jabatan berkaitan demi menjamin hak komuniti Bidayuh terhadap tanah mereka.
Beliau berkata pembinaan asrama komuniti DBNA mencerminkan sokongan kerajaan terhadap pembangunan komuniti Bidayuh.
Jelasnya, ia bukan sahaja mercu tanda baharu sempena ulang tahun ke-70 DBNA, tetapi juga bukti kejayaan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti.
DBNA kini mempunyai 24 cawangan termasuk satu di Lembah Klang.
DBNA yang didaftarkan pada 22 September 1955 dengan nama asal Bidayuh National Association, kemudian ditukar kepada Dayak Bidayuh National Association pada 1972.
Penubuhannya bagi memupuk perpaduan, memelihara warisan budaya, menggalakkan penyertaan dalam pembangunan negara serta bekerjasama dengan kerajaan untuk kesejahteraan dan kemajuan sosioekonomi masyarakat Bidayuh.