BANDUNG, 14 September - Langkah strategik perlu segera dirangka bagi menjamin kelangsungan serta kemajuan industri batik di rantau ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kolaborasi lebih erat perlu diwujudkan antara universiti dan industri dalam bidang penyelidikan pewarna semula jadi, teknologi tekstil hijau dan reka bentuk lestari.
"Rantaian nilai batik perlu diperhebat daripada artisan kecil hingga pemain industri besar melalui program inkubasi, e-dagang, pensijilan kualiti serta perlindungan hak cipta," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas menyaksikan proses pembuatan batik di Batik Komar, sempena program International Leadership Mobility 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor UniMAP.
Baginda turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif Batik Trails Nusantara yang menghubungkan bandar warisan Malaysia–Indonesia sebagai pemacu pelancongan kreatif, selain melihat batik sebagai identiti nasional yang berpotensi menjadi sumber inovasi, ekonomi dan diplomasi budaya.
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Canselor UniMAP, turut menyeru agar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkukuh melalui pertukaran pelajar, perantisan rentas negara serta pewarisan kemahiran moden, selain berharap Inisiatif Perkongsian Batik Nusantara dapat direalisasikan dengan UniMAP sebagai jambatan akademik serta Perlis sebagai hab inovasi serantau.
Generasi muda diingatkan supaya terus menghargai batik, kerana ia bukan sekadar pakaian, sebaliknya sebagai bahasa identiti, akar sejarah dan lambang maruah bangsa.