MARUDI, 14 September – Sebanyak tujuh kawasan di sekitar Marudi dinaiki air berikutan pertembungan fenomena air pasang besar dan hujan lebat sejak 5 September lalu sehingga semalam.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat ialah Kampung Narum, Kampung Ridan, Kampung Dagang, Kampung Cina, Kampung Padang Kerbau, Bandar Marudi serta Jalan Raya Marudi-Miri atau Jalan Nanas.
"Hasil pemantauan APM Sarawak pagi tadi mendapati paras air di kawasan tersebut berada antara 0.17 inci hingga 0.27 inci.
"Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS), dibuka dan jalan raya masih boleh dilalui semua jenis kenderaan," menurut kenyataan itu.
Cuaca di sekitar Marudi hari ini dilaporkan mendung dan penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap trend kenaikan paras air serta bersedia berpindah sekiranya keadaan tidak selamat.