BANDUNG, 14 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempelawa tenaga pengajar, khususnya daripada rangkaian Universitas Muhammadiyah (UM) di Indonesia, untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, berkata pihaknya turut menawarkan pengurangan yuran kepada tenaga pengajar yang mendaftar secara berkumpulan.
“Sebagai contoh, jika lebih 10 dosen menyambung pengajian pada tahun akademik tertentu, mereka layak menerima pengurangan yuran sebanyak 20 peratus. Sekiranya jumlah pendaftaran mencecah 30 orang, diskaun meningkat kepada 30 peratus, manakala bagi lebih 50 orang, pengurangan 50 peratus akan diberikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi diskusi kerjasama akademik antara UniMAP dan UM Bandung sempena Mobiliti Kepimpinan Antarabangsa UniMAP 2025.
Dalam lawatan itu, beliau bersama Rektor UM Bandung, Prof Dr Ir Herry Suhardiyanto, turut menyempurnakan pertukaran surat niat yang disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Tuanku Canselor UniMAP.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menegaskan aspirasi UniMAP selari dengan hala tuju UM, iaitu melahirkan graduan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sahsiah, berteraskan integriti serta kepimpinan.
Baginda berharap lawatan berkenaan membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, latihan kepimpinan berteraskan nilai Islam dan kemanusiaan, serta usaha pemerkasaan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua negara.
Sementara itu, Prof Dr Herry Suhardiyanto berkata pihaknya amat berbesar hati menerima keberangkatan Tuanku Canselor bersama delegasi UniMAP, sambil menyifatkan kerjasama ini berpotensi memperkukuh kemampuan akademik UM Bandung dan mengembangkan ilmu serta teknologi dalam bidang kepakaran UniMAP.
Selain tenaga pengajar daripada 170 rangkaian UM di seluruh Indonesia, alumni universiti berkenaan turut dipelawa menyambung pengajian di UniMAP dalam pelbagai bidang.