GEORGE TOWN, 14 September — Sistem kesihatan negara kini dalam proses reformasi menyeluruh bagi memastikan kelestarian dan keadilan, khususnya dalam menghadapi beban penyakit tidak berjangkit (NCD), peningkatan fasiliti awam serta isu kekurangan pakar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata antara inisiatif utama ialah memperkukuh kerjasama erat antara sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta.
“Supaya kita akan mempunyai satu keadaan di mana apa sahaja kekurangan dari segi kemudahan awam, kemudahan swasta akan tampil untuk melengkapi dan menambah baik.
"Saya perlu memastikan keseluruhan ekosistem kesihatan diberikan pendekatan yang menyeluruh agar reformasi dapat menjadikannya lebih berdaya tahan, kukuh serta bersedia untuk cabaran masa hadapan. Oleh itu, perkara paling penting dalam reformasi saya bergantung kepada reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-65 di sini malam tadi.
Menurut Dr Dzulkefly, kerajaan kini menanggung kos penjagaan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit sekitar RM64.3 bilion, meliputi kos langsung dan tidak langsung.
Bagi menangani isu inflasi perubatan dalam sektor swasta pula, kerajaan memperkenalkan Diagnosis Related Group (DRG) sebagai standard pembayaran perkhidmatan.
Turut hadir, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr R. Thirunavukarasu, dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin.
Sementara itu, Dr Thirunavukarasu menegaskan komitmen MMA untuk memperkasakan peranan doktor dalam kepimpinan serta memperjuangkan dasar yang adil.
“Setiap doktor, sama ada di klinik luar bandar, klinik am, hospital awam atau swasta peringkat tertiari, atau institusi akademik, mesti diiktiraf atas peranan kepimpinan mereka dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan.
"Kami akan memperjuangkan dasar yang adil, termasuk isu yuran klinik am, semakan semula kod prosedur pakar swasta, amalan kemasukan pihak ketiga, syarat kontrak hingga reformasi undang-undang perubatan.
"Doktor bukan sahaja perlu berada di meja perbincangan untuk membuat keputusan, tetapi harus terlibat secara bermakna,” katanya.