TCTP 2025 bukti komitmen Malaysia perkukuh kerjasama serantau keselamatan siber

SEBERANG JAYA, 13 Oktober – Penganjuran Program Latihan Negara Ketiga atau Third Country Training Programme (TCTP) 2025 membuktikan komitmen negara dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau bidang keselamatan siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran TCTP 2025 tunjuk komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama serantau keselamatan siber.
  • Program disertai tujuh negara: Bhutan, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Nepal, Sri Lanka, Timor-Leste.
  • JMTI diiktiraf sebagai institusi TVET berwibawa, mencerminkan kepakaran latihan teknikal dan keselamatan siber Malaysia.
  • Latihan 14 hari merangkumi kuliah, praktikal, pembentangan dan lawatan industri, fokus kepada prinsip dan reka bentuk rangkaian selamat.
  • Penekanan kepada perlindungan dan pembangunan aset serta interaksi digital bagi menyokong ekonomi moden.

Program anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) itu disertai tujuh negara, termasuk Bhutan, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Nepal, Sri Lanka dan Timor-Leste.

Pengarah JMTI, Zulkifle Omar, berkata penyertaan pelbagai negara itu menunjukkan kepercayaan terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang latihan teknikal dan keselamatan siber.

“Ini juga membuktikan peranan aktif JMTI sebagai institusi latihan TVET yang berwibawa di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, program itu turut menekankan keperluan melindungi dan membangunkan aset serta interaksi digital di era ekonomi moden.

Sesi latihan merangkumi kuliah, aktiviti praktikal, pembentangan serta lawatan industri, dengan fokus kepada Prinsip Keselamatan Siber, Asas Kriptografi, Reka Bentuk Rangkaian Selamat dan Domain Keselamatan Siber.

Program berkenaan berlangsung selama 14 hari bermula 1 Oktober di JMTI Bukit Mertajam, dan majlis penutupannya disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon, di Seberang Jaya.