SEBERANG JAYA, 13 Oktober β Penganjuran Program Latihan Negara Ketiga atau Third Country Training Programme (TCTP) 2025 membuktikan komitmen negara dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau bidang keselamatan siber.
Program anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) itu disertai tujuh negara, termasuk Bhutan, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Nepal, Sri Lanka dan Timor-Leste.
Pengarah JMTI, Zulkifle Omar, berkata penyertaan pelbagai negara itu menunjukkan kepercayaan terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang latihan teknikal dan keselamatan siber.
βIni juga membuktikan peranan aktif JMTI sebagai institusi latihan TVET yang berwibawa di peringkat global,β katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, program itu turut menekankan keperluan melindungi dan membangunkan aset serta interaksi digital di era ekonomi moden.
Sesi latihan merangkumi kuliah, aktiviti praktikal, pembentangan serta lawatan industri, dengan fokus kepada Prinsip Keselamatan Siber, Asas Kriptografi, Reka Bentuk Rangkaian Selamat dan Domain Keselamatan Siber.
Program berkenaan berlangsung selama 14 hari bermula 1 Oktober di JMTI Bukit Mertajam, dan majlis penutupannya disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon, di Seberang Jaya.