PUTRAJAYA, 13 Oktober – Empat pelajar yang terlibat dalam kes salah laku seksual membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka dikenakan tindakan tatatertib buang sekolah berkuat kuasa serta-merta, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang hari ini selepas meneliti laporan berhubung insiden berkenaan.
Menurutnya, walaupun tindakan tatatertib telah dilaksanakan, kesemua pelajar berkenaan tetap dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan depan.
“Pada waktu ini semua murid yang terlibat telah ditahan reman oleh pihak polis. Kebenaran untuk mereka menduduki peperiksaan SPM tidak bermakna mereka terlepas daripada tindakan.
"Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita berikan, sementara kes yang melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak berkaitan,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu selaras dengan prinsip seseorang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.
Dr. Mohd Azam berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan adil.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa kes sedang menerima rawatan di hospital dan telah diberikan bantuan psikososial bagi menjamin kesejahteraan emosi serta mentalnya.
Sehubungan dengan itu, beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua pentadbir institusi pendidikan di seluruh negara untuk segera meningkatkan pemantauan dan keberkesanan aspek keselamatan di institusi masing-masing.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan SPM bulan depan direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar S.R Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan.