fb fb fb fb fb

AMEM ke-43: Fokus agenda peralihan tenaga dan kesalinghubungan serantau

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada 16 dan 17 Oktober ini./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Usaha kerajaan mempercepat agenda peralihan tenaga negara dan serantau akan diketengahkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung pada 16 hingga 17 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang menghimpunkan menteri-menteri tenaga negara anggota ASEAN, wakil rakan dialog luar dan organisasi tenaga antarabangsa, selain institusi kewangan pelbagai hala, pemain industri serta pakar teknikal tenaga.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), mesyuarat kali ini akan membincangkan pelbagai agenda strategik termasuk Pelan Tindakan Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030 yang akan menjadi pelan hala tuju tenaga serantau bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Memorandum Persefahaman serantau berkaitan Grid Tenaga ASEAN dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) akan turut dibincangkan bagi memperkukuh kesalinghubungan tenaga, mempercepat peralihan tenaga rendah karbon serta meningkatkan keselamatan bekalan tenaga serantau,” jelas PETRA.

Mesyuarat itu juga akan meneliti cadangan pelaksanaan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APGF), iaitu inisiatif pembiayaan bersepadu dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia yang dijangka menyediakan kemudahan kewangan melebihi AS$12.5 bilion untuk membiayai projek sambungan grid merentas sempadan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menerajui agenda tenaga serantau dengan menumpukan kepada pembangunan Grid Tenaga ASEAN yang bukan sahaja menjamin bekalan tenaga berdaya tahan, malah penting untuk menangani cabaran perubahan iklim. Malaysia turut memberi penekanan kepada pembentukan pasaran tenaga serantau serta penetapan piawaian Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Majlis Anugerah Tenaga ASEAN 2025 akan turut diadakan pada 16 Oktober ini, dengan tiga kategori utama dipertandingkan bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam bidang tenaga di rantau ini.

Pada masa sama, Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 akan berlangsung serentak sebagai platform perbincangan antara pelabur, pemain industri, institusi kewangan dan pemaju tenaga mengenai peranan sektor swasta dalam mempercepat peralihan tenaga ASEAN.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI