KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Komitmen kerajaan menurunkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus menjelang 2026 membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Langkah itu juga seiring dengan sasaran jangka sederhana untuk mencapai 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti ditetapkan di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
Sehubungan itu, Ketua Monash School of Business, Profesor Dr. Nafis Alam, optimis sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan trend penurunan defisit secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan yang mencerminkan daya tahan ekonomi negara.
“Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha menurunkan defisit fiskal. Ini akan menjadikan kedudukan ekonomi negara lebih kukuh, dengan hasil kerajaan dijangka meningkat dan perbelanjaan dapat dioptimumkan di beberapa sektor,” katanya ketika dihubungi RTM.
Mengulas peruntukan pembangunan tertinggi yang diumumkan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2026, jelasnya ia langkah penting bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negeri itu.
“Sebahagian besar peruntukan turut disediakan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya bagi tujuan peningkatan kemahiran dan pembangunan kapasiti teknologi.
''Langkah ini dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) sekali gus merangsang pertumbuhan negeri berkenaan.” jelasnya.
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, menunjukkan peningkatan ketara dalam peruntukan pembangunan bagi Sabah daripada RM4.4 bilion pada 2022 kepada RM6.9 bilion.
Manakala Sarawak meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tahun sama, menjadikan jumlah tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.