KANGAR, 14 Februari - Lebih 400 penduduk setempat tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan tarian singa sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 Bersama-sama Komuniti Pangsapuri Sena, di sini.
Bukan sahaja masyarakat Tiong Hua malah pelbagai kaum termasuk Melayu, India dan Siam turut memeriahkah program dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dan Pengurusan UTC Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Pusat Khidmat DUN Indera Kayangan.
Menurut Exco Negeri Megat Hashirat Hassan, pelaksanaan program sebegini dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum yang sama-sama meraikan perayaan Tahun Baharu Cina dalam suasana cukup meriah.
"Sejarah sambutan Tahun Baru Cina berdasarkan kalendar Qamari Cina sejak ribuan tahun dahulu adalah mengikut kitaran selama 12 tahun yang merujuk kepada 12 jenis haiwan.
"Setiap haiwan mempunyai personaliti dan tuah yang berbeza dan Tahun Baharu Cina 2024 jatuh pada Tahun Naga, iaitu haiwan kelima dalam kitaran 12 haiwan Zodiak Cina dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keuntungan," kata Megat Hashirat dalam majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama-sama Komuniti di Dataran Medan Selera UTC Perlis, yang turut dihadiri ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Pada majlis itu seramai 40 masyarakat Tiong Hua terpilih menerima sumbangan bakul makanan, limau mandarin serta kupon makanan.