fb fb fb fb fb

Beras Putih Malaysia Madani boleh didapati di pasaran mulai 1 Mac

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram sekampit berkuat kuasa 19 Februari ini,

Ianya dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac depan.

Menurut Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, selepas ini tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.

“Apa yang kita buat ini untuk memberikan suatu harga yang lebih selesa kepada rakyat sebenarnya. Pelarasan ini dibuat oleh industri untuk memberikan harga yang sesuai… dan adanya dalam pasaran untuk semua rakyat.

"Selain itu, harga Beras Putih Malaysia MADANI bagi per kampit beras lima kg pula ditetapkan pada harga RM15.50 manakala kampit satu kg pada harga RM3.50,"katanya.

Tambah beliau kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi ianya perlu ditampal dengan pelekat harga Beras Putih Malaysia MADANI yang ditetapkan.

Sebelum ini cadangan pengenalan Beras Putih Malaysia Madani itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

Penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu berperanan sebagai mekanisme untuk menghentikan tindakan memanipulasi atau membungkus semula beras putih tempatan kepada jenama yang lebih mahal.

Ia berikutan segelintir pengeluar sebelum ini dipercayai mencampurkan beras putih tempatan di dalam kampit beras putih import bagi tujuan meraih lebih keuntungan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE