SEREMBAN, 23 Januari - Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sendirian Berhad (SWM) akan memberi keutamaan di kawasan sepanjang pesisiran pantai Port Dickson, sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin, ia kerana kawasan pantai tersebut merupakan kawasan tumpuan pelancong terutamanya pada cuti perayaan dan cuti umum.
Lebih 200 pekerja akan bertugas pada hari pertama dan kedua perayaan Tahun Baharu Cina di 13 kawasan pantai di Port Dickson bagi memastikan kutipan sisa pepejal berjalan lancar dan persekitaran bersih.
"SWM environment memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan tumpuan pelancong, sudah pasti ramai rakyat luar akan datang ke Negeri Sembilan khususnya di pantai Port Dickson. SWM Environment menyediakan perkhidmatan pembersihan di 13 kawasan pantai di Port Dickson dan kita akan memastikan pekerja akan berada di kawasa perkhidmatan dan membersihkan kawasan pantai seperti biasa," kata Norlisam.
Beliau berkata demikian pada program Sesi Teh Tarik dan Sidang Media Strategi Operasi Kutipan Sisa Pepejal Sempena Tahun Baharu Cina, di Pusat Pandu Lalu KITARecycle, Wisma Bandaraya Seremban (MBS).
Sementara itu, sempena perayaan Tahun Baharu Cina, SWM Environment juga menggerakkan seramai 2,774 pekerja pada hari pertama dan kedua perayaan bersama-sama 239 lori kompaktor dan 120 buah lori terbuka (pukal) di seluruh Negeri Sembilan.
Selain itu, SWM Environtment telah mengenal pasti lokasi perhatian khas sepanjang perayaan antaranya 67 buah lokasi penempatan tong sampah berpusat, 30 lokasi rumah pangsa, pangsapuri dan tujuh lokasi pantai dan tumpuan pelancong.