fb fb fb fb fb

Tasik Kenyir diisytihar Geopark Kebangsaan

HULU TERENGGANU, 11 Mac- Ikon eko pelancongan negeri Terengganu, Tasik Kenyir yang mempunyai nilai-nilai prasejarah sejak 250 juta tahun lalu kini dalam fasa penilaian akhir untuk diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan.

Sesi penilaian yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahaan Iklim (NRECC) juga melihat selain Tasik Kenyir terdapat beberapa lagi destinasi di Terengganu yang berpotensi untuk diberi status Geopark Kebangsaan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak melihat pentingnya status Geopark Kebangsaan bagi mengiktiraf destinasi eko pelancongan yang terdapat dalam negeri ini sebagai salah satu tambah nilai yang menjadi prestij khususnya buat sektor perlancongan yang secara tidak langsung mampu untuk menjana ekonomi penduduk setempat.

(Foto hiasan)

"Lembaga penilaian akan bawa balik ke Kuala Lumpur dan akan bentangkan ke Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dahulu dan sekiranya tiada apa-apa halangan tiada apa-apa aral insya-Allah kita menjangkakan pengisytiharan mungkin dapat dibuat sekitar bulan September atau Oktober ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup bagi sesi penilaian Tasik Kenyir sebagai tapak Geopark Kebangsaan yang telah berlangsung selama lima hari.

Media Baharu