fb fb fb fb fb

Tarikh pelaksanaan apungan harga ayam,telur diumum 30 Oktober

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Tarikh pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur akan diumumkan pada 30 Oktober ini.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perincian mengenai pengapungan harga dua bahan mentah itu masih dalam perbincangan bersama pihak industri pengeluar.


(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,
Datuk Seri Mohamad Sabu/BERNAMA)

"Kita bincangkan dengan pihak industri iaitu pihak yang mengeluarkan telur dan juga ayam. Perbincangan sedang berjalan dan pihak Ketua Setiausaha sedang memainkan peranan untuk mengadakan pertemuan supaya harga dapat berada dalam keadaan tidak naik begitu mendadak", katanya selepas majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan apungan harga yang bakal dilakukan itu susulan mendapati trend semasa menunjukkan kedua-dua bekalan sumber makanan itu stabil, sekali gus dapat mengekalkan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

Sambutan HPPNK 2023 yang akan diadakan pada 10 hingga 12 November 2023 di Ipoh, Perak akan memfokuskan aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).

Media Baharu