KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Pasaran getah tempatan ditutup tinggi sedikit hari ini disokong oleh penurunan ringgit berbanding dolar AS, prospek bekalan getah yang terhad di Thailand dan tinjauan ekonomi Asia Pasifik yang memberangsangkan.
Seorang peniaga berkata bagaimanapun kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah dan prestasi lemah pasaran niaga hadapan getah serantau apabila kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan daripada konflik di Timur Tengah telah menjejaskan sentimen.
“Peserta pasaran menunggu petunjuk seterusnya daripada Rizab Persekutuan AS berkaitan hala tuju pergerakan kadarnya selain memantau rapat berkembangan terkini konflik di Timur Tengah,” katanya.
Peniaga itu juga berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan pada hari Khamis, disokong oleh ekonomi China yang semakin pulih.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menokok 0.5 sen kepada 698.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 1.0 sen kepada 541.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 695.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 542.0 sen sekilogram.- BERNAMA
(Foto fail)