fb fb fb fb fb

Tarikh akhir pengambilan pekerja asing menerusi Program RTK 2.0 kekal

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 8 Mac- Tarikh akhir pengambilan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kekal pada 31 Mei depan kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Keputusan itu dibuat berdasarkan faktor keselamatan dan ketenteraman awam serta beberapa justifikasi lain yang dipertimbangkan.

Jelasnya ia juga dibuat secara bersama oleh semua kementerian berkaitan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia dan Agensi Kawal Selia (AKS).

"Keputusan ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan inisiatif yang telah dilaksanakan dan mengukur secara tepat keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum membuat pertimbangan keperluan pembukaan kuota penggajian pekerja asing.

"Sekarang kita tutup, jadi apabila kita buat macam ini kita boleh pantau dan tengok inisiatif yang dilakukan. itu akan menjadi satu pengukur yang tepat berkenaan keperluan tenaga pekerja asing dalam negara sebelum kita buat keputusan," katanya ketika mengulas laporan media berhubung gesaan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) supaya kerajaan membatalkan keputusan mempercepatkan tarikh akhir pengambilan pekerja asing, di sini.

Dalam pada itu berkenaan Program Repatriasi Migran yang telah berjalan mulai 1 Mac lalu hingga semalam berjaya mengutip RM2.9 juta nilai kompaun menerusi proses penawaran dan bayaran pas khas.

Saifuddin berkata, seramai 5,983 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berdaftar dan seramai 1,864 PATI telah pulang ke negara asal.

"Jumlah tertinggi adalah dari Indonesia iaitu 3,115;kedua dari Bangladesh (846); ketiga dari India (700);Pakistan (610); Sri lanka (279); Nepal (196).

"Bakinya negara-negara lain iaitu Myanmar, Filipina, Yaman, Syria, Mesir, Nigeria, Thailand, Vietnam dan China," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI