fb fb fb fb fb

JENDELA :Enam menara telekomunikasi di Melaka dijangka beroperasi hujung tahun ini

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan/ Foto RTM

MASJID TANAH, 8 Mac - Enam menara telekomunikasi di Melaka dalam proses penyerahan kepada pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi secara berperingkat-peringkat bagi kerja-kerja pemasangan radio dan stesen pemancar.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata ia dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Jelas Fairul Nizam, satu menara telekomunikasi daripada keseluruhan tujuh menara yang dibina dibawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Melaka telah siap beroperasi dengan perkhidmatan 4G.

"Dengan adanya program JENDELA ini, ia sangat membantu, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar", katanya yang ditemui pemberita ketika melawat tapak Menara telekomunikasi dan majlis memuktamadkan pembinaan Menara telekomunikasi baharu JENDELA FASA 1 Melaka di Kampung Ayer Limau, di sini.

Menara telekomunikasi di kampung berkenaan dijangka akan beroperasi sebelum Aidilfitri ini.

Sementara itu, Fairul turut menjelaskan terdapat sembilan lagi projek menara telekomunikasi telah diluluskan untuk tahun 2024.

Fairul turut berkata lokasi pembinaan menara-menara berkenaan masih dalam pertimbangan kerajaan negeri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD