fb fb fb fb fb

Kerajaan tamatkan perkhidmatan pengendali visa Malaysia

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media di Putrajaya

PUTRAJAYA, 8 Mac- Kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Agensi Pengendali Permohonan Visa Malaysia bagi permohonan eVISA pekerja asing warganegara Bangladesh.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, majikan telah diberikan id pengguna aktif dan manual berkaitan penggajian pekerja asing warganegara Bangladesh. Permohonan eVISA boleh dibuat secara terus menerusi sistem MYVISA.

Tegasnya, majikan bertanggungjawab untuk menyegerakan proses kemasukan pekerja asing berdasarkan kuota yang diluluskan berdasarkan proses yang telah ditetapkan kerajaan. Permohonan itu mengambil masa kira-kira satu (1) hingga dua (2) hari bekerja.

"Sekarang ini apabila kita tutup, kita dah tamatkan perkhidmatan agensi pengendali permohonan visa Malaysia di Bangladesh. Sekarang majikan boleh buat sendiri, sekiranya majikan berlengah ia akan lambat.

"Jadi tidak perlulah kita anjakkan tempoh tamat tarikh kemasukan pekerja," katanya dalam sidang media khas yang diadakan di sini.

Keputusan kerajaan untuk membatalkan kuota aktif sektor formal juga akan dibuat selain pulangan levi segera dengan tadbir urus yang ditambah baik.

Penambahbaikan dasar dan mekanisme pemulangan levi yang lebih mesra majikan dan industri dapat memastikan proses pulangan levi kepada majikan berjalan lancar.

Justeru, beliau berharap agar majikan dapat mempercepat kemasukan pekerja asing tanpa mengabaikan peraturan dan undang-undang.

Dalam pada itu kabinet bersetuju mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara yang berkahwin dengan warga asing dalam mesyuarat hari ini.

Saifuddin berkata pembentangan mengenai perkara itu telah mendapat kebenaran dan langkah berikutnya akan diteruskan melibatkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk orang awam.

"Kabinet memberikan kebenaran sepenuhnya dan saya akan teruskan dengan proses-proses berikutnya seperti sesi penerangan kepada rakan-rakan media dan melibatkan individu berkepakaran serta ahli Parlimen yang akan mengundi nanti," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Pada Disember lepas, Jabatan Peguam Negara dilaporkan sedang merangka draf cadangan pindaan perlembagaan itu, iaitu Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan 'ibu', dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI