SEREMBAN, 17 Julai - Proses rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan kadar tarif masih berlangsung dan akan melihat skop yang lebih meluas termasuk aspek kedaulatan negara.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam rundingan berkenaan Malaysia sedaya-upaya akan mengemukakan fakta-fakta dengan mengetengahkan kepentingan hubungan dua hala.
"Kita cuba sedaya upaya untuk memberikan fakta-fakta mengenai kepentingan hubungan dua hala antara AS dan Malaysia, serta Malaysia dan AS.
"Kita mahu supaya kepentingan bersama ini, kepentingan yang sihat terus dapat kita pelihara dengan baik.
"Kita tidak mahu, disebabkan oleh rundingan dua hala berkaitan tarif ini, hubungan dua hala yang sedia terjalin menjadi rosak. Malaysia merupakan rakan strategik kepada AS, dan juga rakan strategik kepada semua negara di seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Penerima Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Komuniti Rantau di sini.
Tambahnya, negara terus mengamalkan dasar berkecuali dan menyokong prinsip keterangkuman dalam kalangan negara ASEAN.
Oleh itu, sebarang tindakan yang boleh memecahbelahkan kerjasama serantau dilihat sebagai satu langkah yang tidak sihat dan perlu dielakkan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Presiden AS, Donald Trump menyatakan pengurangan kadar tarif bagi Indonesia kepada 19 peratus setelah berjaya mencapai perjanjian perdagangan dengan negara itu.