WELLINGTON, 17 Julai - Pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara diseru mempertimbangkan keputusan untuk kembali ke tanah air bagi menyumbang kepada pembangunan negara.
Ini memandangkan terdapat keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang kritikal, seperti kejuruteraan, perundangan dan perakuanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepakaran mereka diperlukan bagi merancakkan pembangunan dan ekonomi negara.
"Saya minta baliklah ke Malaysia, terutamanya penuntut dalam bidang kejuruteraan atau profesional yang lain, termasuk dalam bidang perundangan dan perakaunan. Saya tahu gaji di Malaysia agak rendah berbanding New Zealand, tetapi kita mesti ingat, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Malaysia di sini.
Majlis itu dihadiri 250 rakyat Malaysia yang bermastautin di New Zealand, serta komuniti pelajar Malaysia.
Dalam majlis sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan NZ$100,000 kepada Rumah Malaysia bagi persiapan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.