KUALA NERUS, 17 Julai – Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menyifatkan penganjuran program motivasi rumah tangga eHATI sebagai mencemarkan martabat wanita dan menyimpang daripada ajaran Islam.
Beliau berkata, pendekatan program berkenaan yang didakwa menumpukan unsur negatif termasuk adegan bogel dan urutan antara jantina adalah bertentangan dengan batasan syariah.
“Kita kesal kerana dalam Islam, perkara seperti ini termasuk dalam kategori maklum min al-darurah iaitu sesuatu yang tidak perlu diajar secara terperinci.
“Maruah wanita perlu dipelihara dan mereka tidak seharusnya terbabit dengan perkara menjurus kepada pendedahan tubuh badan, apatah lagi membabitkan sentuhan fizikal antara jantina berlainan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Terengganu Bertadabbur Siri Tiga di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini, yang dihadiri lebih 600 peserta terdiri daripada masyarakat awam, guru, pelajar dan penjawat awam.
Dr Mohamad Sabri turut menggesa pihak berkaitan tampil menjelaskan penganjuran sebenar program itu kepada masyarakat, selain menasihati umat Islam supaya menghindari program seumpama itu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya belum menerima maklumat berhubung penyertaan peserta dari Terengganu dalam program berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Selangor mengesahkan berlaku adegan bogel dalam program eHATI yang dianjurkan di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, Shah Alam, September tahun lalu.
Setakat ini, enam individu termasuk pengasas program sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk proses reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 294 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.