fb fb fb fb fb

Kerajaan kekal laksana had umur belia 30 tahun

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

PETALING JAYA, 17 Julai - Kerajaan kekal dengan pendirian untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula
1 Januari 2026 dengan pindaan yang diluluskan di Parlimen pada 2019.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu akan dilaksanakan seperti dirancangan sebagai usaha memperkukuh dasar belia negara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Sarawak tidak terikat dengan pelaksanaan perubahan itu memandangkan pertubuhan belia utamanya, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukan di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

"Kami telah menyalurkan dana dan memaklumkan sejak tahun 2023 bahawa peralihan had umur belia kepada 30 tahun akan bermula pada 1 Januari 2026.

Bagi Sarawak, pertubuhan belia utama mereka ialah SABERKAS, yang berdaftar di RoS, bukan di bawah ROY.

Oleh itu, SABERKAS tidak tertakluk kepada peraturan di bawah ROY dan memang tidak perlu mematuhi had umur tersebut kerana di bawah RoS, tiada had umur ditetapkan," katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pickleball Asia 2025 di sini, hari ini.

Sebelum ini, negeri tersebut juga tidak berhasrat untuk mengikut ketetapan kerajaan Persekutuan dan memilih untuk mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE