KUALA LUMPUR, 17 Julai – Akta Perikanan 1985 (Akta 317) akan dipinda bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan dan perlindungan terhadap sumber perikanan negara.
Pindaan tersebut dijadual dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang minggu hadapan, melibatkan peningkatan penalti dan kawalan lebih ketat ke atas hasil tangkapan laut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata antara fokus utama pindaan ini adalah untuk menangani isu penggunaan peralatan penangkapan yang merosakkan habitat laut serta melindungi spesies marin yang semakin terancam termasuk penyu.
"Akta ini pada masa ini lebih kepada dasar semata-mata. Maka pindaan ini akan memperkukuh aspek penguatkuasaan, termasuk permintaan daripada pihak berkuasa antarabangsa dalam sektor perikanan."
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Kali Ke-40, hari ini.
Jelas beliau, pindaan itu juga akan membabitkan penubuhan taman-taman laut sebagai langkah pemuliharaan, di samping melarang aktiviti penangkapan ikan di kawasan yang tercemar sehingga hasil tangkapan disahkan selamat untuk dimakan
Tambah beliau, kerajaan turut merancang untuk mengetatkan undang-undang penjualan penyu hidup bagi mengelakkan kepupusan spesies berkenaan.
Ujar beliau, pencerobohan oleh nelayan asing dan tempatan juga akan diberi perhatian dalam pindaan ini, termasuk hukuman yang lebih tegas bagi melindungi kedaulatan perairan negara.