BANGI, 17 Julai - Kajian secara menyeluruh terhadap Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini di peringkat akhir penelitian, sebelum dibawa ke Kementerian Pengangkutan untuk kelulusan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ia merupakan sebahagian daripada rombakan besar-besaran terhadap sistem berkenaan yang giat dijalankan, seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini.
Langkah itu merupakan usaha menyeluruh kerajaan untuk menambah baik sistem penguatkuasaan lalu lintas, di samping meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
"Kami sudah bentangkan cadangan ini dua kali kepada menteri dan beberapa penambahbaikan serta pindaan perlu dilakukan, termasuk kaedah pengiraan mata demerit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan Berkaitan Inisiatif Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.
Menurut Aedy Fadly, penambahbaikan Sistem KEJARA mengambil masa kerana turut melibatkan aspek perundangan yang memerlukan pindaan terhadap peruntukan tertentu.
Pindaan ini bertujuan meningkatkan keberkesanan sistem dalam mendidik pemandu, serta mengurangkan kadar pelanggaran undang-undang jalan raya.