BANGI, 17 Julai - Pemegang Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang digantung akan diwajibkan menjalani kursus pemulihan sebelum kelayakan lesen mereka boleh dipertimbangkan semula.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut kini berada di fasa perincian akhir dan dijangka dimulakan secara rintis pada November.
Katanya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan keselamatan jalan raya serta tahap profesionalisme pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan barangan.
“Pemandu-pemandu lesen GDL dan PSV yang digantung lesen akan diwajibkan menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen mereka boleh dikembalikan. Ini penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Kita sedang meneliti beberapa aspek pelaksanaan melibatkan modul atau latihan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan peringkat awal pelaksanaan dijangka dimulakan pada November sebagai projek perintis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan Berkaitan Inisiatif Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.
Aedy Fadly berkata, beberapa perkara mengenai kursus pemulihan membabitkan modul atau latihan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Pemandu kenderaan berat sekarang, apabila mendapat saja lesen PSV dan GDL, mereka terus boleh memandu dan tidak ada latihan lanjutan.
Kita melihat pentingnya latihan itu dan juga kursus pemulihan ini untuk mengingatkan semula pemandu dengan peraturan kerana mungkin ada yang lupa,” katanya.
Setakat ini, kursus pemulihan hanya dilaksanakan kepada pemegang lesen PSV dan GDL sebelum diperluas pelaksanaannya kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM).