fb fb fb fb fb

Naik taraf kemudahan kesihatan, Hospital Al-Hayat perlu RM1.4 juta

Foto MyCARE Johor

KABUL, 17 Julai - Sebuah hospital kebajikan di Kabul, Afghanistan memerlukan sokongan dana kira-kira AS$300,000 (RM1.4 juta) bagi membangunkan kemudahan kesihatan asas, termasuk pembelian mesin MRI, mesin dialisis serta pelaksanaan latihan untuk kakitangan.

Hospital Al-Hayat yang menawarkan rawatan percuma kepada komuniti kurang berkemampuan kini beroperasi dalam keadaan serba kekurangan daripada segi peralatan dan dana.

Malah, difahamkan beberapa pesakit dilaporkan meninggal dunia kerana tidak mampu menanggung kos pembedahan.

Lawatan kemanusiaan yang diketuai oleh badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bersama rakan strategik, Econsave, telah membuka mata terhadap keperluan mendesak hospital tersebut.

Ketua Misi Kemanusiaan Afghanistan, Mohd Zin Kandar, ketika meninjau hospital berkenaan berkata, pihaknya bersama rakan-rakan strategik akan berusaha membantu hospital itu.

Pihaknya turut berterima kasih kepada hospital berkenaan kerana memberi peluang kepada mereka melawat hospital terbabit.

"Kami berterima kasih kepada Hospital Al-Hayat di Kabul, kerana memberi ruang kepada kami untuk melawat salah sebuah hospital yang beroperasi atas dasar kebajikan serta memberikan perkhidmatan secara amal kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan," katanya di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Al-Hayat, Dr. Habibullah Hazim menyatakan harapan besar untuk memperkembangkan hospital demi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

"Kami sedang menyediakan perkhidmatan kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Rancangan utama kami untuk mengembangkan hospital adalah untuk mempunyai MRI, beberapa mesin DLS, pembangunan pendidikan, dan beberapa rakan kongsi untuk membangun kapasiti staf kami," katanya.

Menurutnya, pihak hospital juga terbuka untuk menjalin kerjasama dengan organisasi antarabangsa, dalam usaha membangunkan hospital berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM