fb fb fb fb fb

Guna kaedah digital dan fizikal, rapatkan jurang komunikasi belia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan usaha kerajaan merapatkan jurang komunikasi dengan golongan belia tidak boleh bergantung kepada kaedah dalam talian semata-mata.

Beliau berkata, sebaliknya, pendekatan secara fizikal juga perlu bagi memastikan mesej kerajaan lebih berkesan dan diterima secara langsung oleh golongan muda.

“Kita turun kampus untuk menjelaskan kepada belia tentang usaha kerajaan dan konsep Rakan Muda. Ramai anak muda hari ini aktif secara dalam talian, tetapi penglibatan dalam persatuan fizikal masih rendah. Itu cabaran kita,” katanya ketika ditemui dalam sidang media Program Rakan Muda Turun Kampus 2025 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan tema 'literasi digital', Hannah berkata, ia sangat bertepatan dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh belia.

Program Rakan Muda Turun Kampus 2025 merupakan usaha KBS untuk memperkenalkan Gaya Hidup Rakan Demokrasi secara langsung kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Inisiatif tersebut juga bertujuan mengukuhkan nilai keyakinan dan ihsan serta membantu pelajar memahami dengan lebih jelas dan terbuka berkaitan isu dasar seperti had umur transisi belia.

Sebanyak 10 siri program dijadualkan berlangsung sepanjang tahun ini, melibatkan penyertaan lebih 5,000 pelajar dari pelbagai universiti awam dan swasta di seluruh negara. Program ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan Rakita FM.

Dalam majlis sama, turut berlangsung sesi menandatangani Surat Niat (LOI) antara UPNM dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjalin kerjasama strategik dalam bidang akademik dan pembangunan sukan.

Kerjasama tersebut merangkumi pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning), laluan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.A) bagi pengiktirafan pengalaman kerja atlet dan jurulatih serta akses khas kemasukan ke program akademik di UPNM.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE