fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk serangan udara Israel ke atas Syria, Lubnan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Julai - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis Israel ke atas Syria dan Lubnan, baru-baru ini.

Serangan itu disifatkan sebagai pelanggaran nyata terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah kedua-dua negara berkenaan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan, serangan ke atas Damsyik dan bandar Druze di Syria, serta di Lembah Bekaa di Lubnan merupakan pelanggaran terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang kemanusiaan, serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Serangan itu telah meragut ratusan nyawa, termasuk orang awam.

"Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap tindakan agresif berterusan rejim Zionis Israel ke atas negara lain yang mengancam keamanan dan keselamatan serantau, serta antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) agar melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagam untuk menamatkan kitaran keganasan demi mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau itu.

MASNIZA AWANG KECHIK