fb fb fb fb fb

Logo Rakan Muzakki Zakat yakinkan masyarakat sokong perniagaan

Foto FB Zakat MAINPP

SEBERANG JAYA, 17 Julai - Pengenalan logo Rakan Muzakki Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menambah keyakinan kepada masyarakat untuk terus menyokong perniagaan yang membayar zakat di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, ia bukan sekadar pengiktirafan kepada mereka, malah membuka mata kepada perniagaan lain untuk berganding bahu bersama institusi zakat negeri dalam mencapai hasil kutipan yang lebih pada tahun ini.

"Pelancaran dan pengenalan logo Rakan Muzakki Zakat MAINPP ini adalah sebagai rakan sinergi dan juga strategi dalam konteks kerjasama antara Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan syarikat yang membayar zakat, sekali gus menonjolkan kepada masyarakat, pembayar zakat yang bersama-sama membangunkan asnaf di Pulau Pinang dengan hasrat membangunkan sosioekonomi umat Islam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo Rakan Muzakki dan Apresiasi Zakat Perniagaan Tahun 2025 di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali dan Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Dato' Dr Mohd Sukki Othman.

Tiga kategori utama iaitu Emas, Perak dan Gangsa diperkenalkan Zakat MAINPP bagi program tersebut.

Emas melibatkan pembayar zakat bermula dari RM50,000 dan ke atas, manakala perak dan gangsa masing-masing melibatkan pembayar zakat RM50,000 ke bawah dan RM5,000 ke bawah sehingga RM1,000.

Pada majlis tersebut, sebanyak 30 syarikat menerima pengiktirafan dengan jumlah kutipan zakat perniagaan bernilai RM2.7 juta ringgit.

MASNIZA AWANG KECHIK