fb fb fb fb fb

Tarif elektrik pengguna domestik tidak dinaikkan, elak beban rakyat - PM

PUTRAJAYA, 14 Disember- Kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan tarif elektrik kepada pengguna domestik bagi mengelakkan rakyat terbeban, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan itu turut melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat pertanian serta pengeluar makanan walaupun ia memberi implikasi kewangan kepada negara hampir RM30 bilion setahun.

“Jika dikenakan pun (kenaikan tarif elektrik) hanya terhadap syarikat-syarikat multinasional yang eksport kerana tarif terlalu rendah buat mereka dan subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi yang untungnya tinggi.

“Dari segi rakyat tidak ada langsung cadangan kerajaan untuk naikkan tarif elektrik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA)

Anwar, bagaimanapun berkata kenaikan terhadap syarikat multinasional hanya akan berlaku secara berperingkat dan berpatutan untuk memastikan ia tidak menjejaskan operasi dan unjuran syarikat.

Menurut Perdana Menteri, maklumat terperinci mengenai keputusan itu akan diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Media Baharu