KUALA LUMPUR, 5 Mei - Amerika syarikat (AS) setuju berunding lebih lanjut dengan Malaysia mengenai tarif timbal balik mengejut yang dikenakan ke atas Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau optimis terdapat kemungkinan AS akan mengurangkan kadar tarif tersebut.
“Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak,
“Tiada sebarang komitmen muktamad yang telah dibuat oleh Malaysia mahupun pihak AS,” katanya pada sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Perdana Menteri turut menegaskan segala perbincangan yang sedang berjalan adalah tertakluk bawah perjanjian kerahsiaan (NDA).
Ia selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.
“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh, termasuk di peringkat Kabinet dan jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” katanya.
Pada April lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi peringkat tinggi Kuala Lumpur ke Washington.
Ia bertujuan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul menekankan mengenai kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan.
Pada masa sama, mengulangi kesediaan Malaysia mengenal pasti jalan penyelesaian terhadap kebimbangan disuarakan oleh negara itu.