KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kerajaan komited membantu pengeksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Bagi merealisasikan usaha itu, jaminan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah dipertingkatkan sebanyak RM1 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif segera bagi memastikan PKS terus memperoleh akses kepada pembiayaan yang diperlukan dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.
"Selain itu, kerajaan turut menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) bagi manfaat tambahan kepada usahawan PKS yang turut terkesan".
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya semasa sesi penerangan berkenaan isu tarif AS pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan balas tarif Amerika menjejaskan rantaian bekalan, perdagangan global dan kestabilan ekonomi ASEAN.
Beliau turut menegaskan keperluan negara memfokus kepada pengukuhan ekonomi domestik melalui projek pembangunan dan pelaburan strategik.