KUALA LUMPUR, 4 Februari- Malaysia perlu mengambil peluang memperluaskan pasaran serta menarik pelaburan baharu, susulan perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara.
Jelas Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, ketegangan perdagangan memberi impak kepada rantaian bekalan global dan mendorong negara terlibat meneroka pasaran alternatif.
Menurutnya, negara boleh memanfaatkan situasi itu disokong strategi yang tepat, seterusnya meningkatkan eksport dan mengukuhkan nilai ringgit.
"Jika berlaku ketidaktentuan dan sebagai contoh jika dolar AS merudum ini akan memberi impak kenaikan kepada nilai ringgit kita. Jika perang tarif ini berterusan, kemungkinanlah negara-negara tersebut akan mencari pelaburan di negara lain.
"Ini boleh menjadi kelebihan kepada kita jika kita mampu menarik pelaburan mereka ataupun kita menjadikan negara kita sebagai hab pengeluar barangan mereka," katanya kepada RTM.
Pada masa sama katanya, pendekatan strategik diperlukan dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.
Ini termasuk mempergiat kerjasama komprehensif bersama rakan dagang utama lain dan pasaran baharu.