
NIBONG TEBAL, 8 Februari – Kebakaran dilaporkan berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, malam tadi, dan operasi pemadaman masih giat dijalankan.
- Operasi pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung.
- Pasukan bomba membina fire break untuk menghalang penyebaran api ke kawasan berdekatan.
- Tiada mangsa dilaporkan setakat ini; operasi diteruskan dan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.13 malam sebelum Pasukan Keluaran Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal tiba di lokasi pada 8.21 malam.
Kebakaran melibatkan longgokan sampah seluas kira-kira 10,000 kaki persegi.
Operasi pemadaman termasuk pembinaan ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain.
Operasi turut dibantu BBP Sungai Bakap, pasukan bomba sukarela serta dua unit jentera pengorek Majlis Bandaraya Seberang Perai.
Seramai 18 anggota termasuk pegawai penyelia terlibat dengan penggunaan jentera pemadam kebakaran, kenderaan sokongan perubatan dan lori tangki air.
Setakat ini kebakaran masih belum berjaya dikawal sepenuhnya, namun tiada mangsa dilaporkan. JBPM memaklumkan operasi akan diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Tapak pelupusan itu sebelum ini pernah terbakar pada 23 September tahun lalu melibatkan kira-kira 0.6 ekar atau tiga peratus daripada keseluruhan kawasan seluas 25.96 ekar.
Pada Januari 2022, kebakaran besar melibatkan lebih 8,000 meter persegi menyebabkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai Zon Bencana Tahap 1 oleh Majlis Keselamatan Negara.