fb fb fb fb fb

Tangki Air Baharu Benut 4 memanfaatkan 20,000 penduduk di Benut

PONTIAN, 29 Januari- Tangki Air Baharu Benut 4 yang siap dibina pada 1 November tahun lalu mampu menampung permintaan tinggi penduduk terhadap bekalan air terawat terutamanya pada musim perayaan.

Tangki berkapasiti 4.5 juta liter air sehari (MLD) yang mula dibina pada 25 November 2020 akan memanfaatkan 20,000 penduduk di Sungai Pinggan, Parit Ismail, Parit Mastar, Air Baloi, Parit Sayang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Dr Ismail.

Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan turut melibatkan pemasangan jajaran paip baharu berdiameter 450 milimeter sepanjang 1.1 kilometer dari Tangki Air Baharu Benut 4 hingga ke Simpang 4 Jalan Parit Ismail dan Jalan Jaafar.

"Jadi penduduk Benut dan MRSM Tun Dr. Ismail serta seluruh kawasan Benut tidak akan hadapi masalah bila berlaku pemotongan air, apabila gangguan air berlaku, maka dengan sendiri 4.5 juta liter air akan disalurkan bagi atasi segala masalah air yang berlaku.

Kadang-kadang paip rosak dan sebagainya, maka ia akan selesaikan masalah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tangki air berkenaan di sini.

(Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan l)

Tambah beliau, projek berkenaan telah diserahkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada Ranhill SAJ Sendirian Berhad bulan lepas.

Satu lagi projek pembiayaan PAAB yang sedang dibina di Pontian ialah Tangki Air Baharu Parit Haji Ariff yang sudah bermula tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.

Bagi pelan jangka panjang pula, Loji Rawatan Air Kayu Ara Pasong bekapasiti 30 juta liter sehari dan pemasangan paip air dari Gunung Pulai ke Tangki Belokok bakal dilaksana.

Selain, pemasangan paip air di Teluk Kerang dan Parit Haji Rashid serta penggantian jajaran paip lama melibatkan anggaran keseluruhan RM250 juta.

Media Baharu