SEGAMAT, 4 Januari - Keputusan Kementerian Kesihatan menangguhkan ibadah umrah bermula Sabtu ini akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Khas Kabinet esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan akan membentangkan laporan mengenai isu tersebut untuk tindakan lanjut.
"Kementerian kesihatan akan membentangkan mengenai isu COVID-19 terutamanya berkaitan Omicron dan sebagainya termasuk cadangan dan keputusan yang dibuat oleh kementerian kesihatan mengenai umrah ini. Jadi esok kita akan dapatkan gambaran sebenar" kata beliau selepas melawat penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, di sini hari ini.
Sabtu lalu, KKM mengumumkan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini bertujuan memperlahankan penularan varian Omicron COVID-19 dalam negara.
Jelas Menterinya Khairy Jamaluddin berdasarkan data, hampir 78 peratus jangkaan Omicron baharu adalah daripada jemaah umrah.