KUALA LUMPUR, 4 Januari - Laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) kini dibuka sepenuhnya kepada semua pengguna lebuh raya.
Laluan itu dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan dan pembaikan akibat banjir dan tanah runtuh di kilometer 77 hingga kilometer 78 arah timur, KLK telah siap.
ANIH Berhad selaku pengendali lebuh raya KLK dan LPT1 dalam kenyataan menyebut pengguna lebuh raya yang ingin ke Pekan Karak tidak perlu membuat pusingan ‘U’ sebelum Plaza Tol Karak.
"Pengguna boleh meneruskan perjalanan seperti biasa untuk sampai ke destinasi masing-masing", menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun pengguna yang menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu melakukan pusingan ‘U’ di Plaza Tol Karak.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di kilometer 74.8 sehingga kilometer 77.3.