fb fb fb fb fb

BANJIR: BWI akan diserah segera di PPS, sebelum penduduk pulang ke rumah - PM

SEGAMAT, 4 Januari - Bantuan Wang Ihsan BWI kepada penduduk terjejas banjir akan diserahkan segera di Pusat Pemindahan Sementara PPS, sebelum penduduk terjejas pulang ke rumah masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kelewatan dalam pengagihan bantuan.

"Kita tidak mahu nanti selepas 6 bulan baru dapat, kita tidak mahu 3 hingga 6 bulan baru dapat, jadi ada makcik yang maklumkan dia tinggal semua barang barang dia, mesti rosak, jadi kita terus beri bagi mengurangkan beban mereka beli barang keperluan dan saya percaya banyak bantuan lain akan dihantar", kata Perdana Menteri selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Kampung Tandong, di sini.

Penduduk terjejas banjir di Johor akan menerima Bantuan Wang Ihsan, BWI RM1,000 setiap keluarga daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 lagi daripada Kerajaan Negeri.

“Sumbangan sangat membantu meringankan beban kami. Saya akan lihat mana-mana kerosakan di rumah dan akan guna wang tersebut untuk memberi keperluan dan perbaiki kerosakan rumah.” kata Rudy Ramli salah seorang penerima BWI di Johor.

"Kami akan gunakan sebaik mungkin, suami pun tak dapat bekerja beberapa hari…Alhamdulillah terima kasih Perdana Menteri bantu beli makanan", menurut Sariah Isa juga penerima BWI yang ditemubual RTM.

"Untuk keluarga anak anak untuk rumah yang banyak kerosakan sebab sekarang tak boleh nak kerja untuk keluargalah makan minum, terima kasih PM, menteri besar dan semua yang membantu ketika banjir", kata seorang lagi penerima bantuan Aishah Hashim.

 

Media Baharu