fb fb fb fb fb

Rumah musnah akibat banjir, 7 penduduk di Jelebu akan terima rumah baharu

 

SEREMBAN, 4 Januari - Kerajaan Persekutuan akan membiayai pembinaan tujuh buah rumah di Jelebu yang musnah sepenuhnya dalam kejadian banjir baru-baru ini. 

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika pertemuan dengan Menteri Besar serta Ketua Menteri semalam.

Jelasnya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM56,000 bagi membina semula setiap rumah terjejas.

"Oleh kerana peruntukkan telah disediakan oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri akan menyediakan tapak. Kos rumah kediaman tersebut ialah RM56,000 sebuah dan kerajaan negeri diminta menyediakan tapak dan urusan pembinaan akan diuruskan pihak kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan juga ICU", kata Aminuddin pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2022 di Wisma Negeri, di sini.

Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti tapak di Kampung Puom, Jelebu yang terletak di tanah tinggi dan tidak terjejas ketika banjir baru-baru ini bagi tujuan pembinaan rumah tersebut.

Datuk Seri Aminuddin turut memaklumkan, pihak Tenaga Nasional Berhad akan menghantar serta memasang kabel sementara bagi menyambung semula bekalan elektrik di Menara Telekomunikasi TM, Telapak Buruk, Jelebu.

Kawasan itu terputus bekalan elektrik selepas berlakunya kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang susulan hujan lebat yang berterusan pada 18 Disember lalu.

Sementara itu, laluan ke Stesen Pemancar Gunung Telapak Buruk, masih belum boleh dilalui untuk semua kenderaan susulan tanah runtuh dan kerja baik pulih sedang giat dilakukan secara berperingkat.

 

Media Baharu