fb fb fb fb fb

Tangani isu buli, veteran ATM dicadang jadi warden asrama

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Kementerian Pendidikan dicadang melantik veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden asrama bagi menangani isu buli di sekolah.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berkata, cadangan tersebut turut mengambil kira pengalaman serta disiplin tinggi yang dimiliki bekas anggota ATM dalam membentuk persekitaran asrama yang lebih selamat.

Malah, pelantikan tersebut sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada golongan ATM dalam meneruskan kehidupan selepas bersara.

"Di sini saya cadangkan kepada Menteri Pendidikan agar mengambil veteran ATM ini untuk dijadikan warden di asrama bagi mengelakkan kejadian buli yang banyak berlaku di asrama sekolah sekarang.

"Sekiranya mereka tidak membantu, sudah tentu mereka akan menghadapi masalah yang besar untuk meneruskan kehidupan.

"Kalau kita bandingkan mereka, lihat pesara awam yang lain daripada segi cara mereka bekerja, bergaul, berbahas, bercakap, berjalan dan bersahabat masih terikut-ikut dengan didikan ketenteraan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat di sini.

Setakat ini, Jumlah veteran ATM di seluruh negara berjumlah 221,312 orang melibatkan 148,884 orang pesara berpencen dan 70,428 yang tidak berpencen.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM