fb fb fb fb fb

Kes Zara Qairina: Tun Musa Aman arah siasatan menyeluruh, telus

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman telah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Istana Seri Kinabalu menerusi satu kenyataan memaklumkan, bedah siasat telah dilakukan pada Ahad dan siasatan kini sedang dijalankan dan menunggu keputusan hasil bedah siasat tersebut.

"Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.

"Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan. Sebaliknya, ia adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” menurut kenyataan itu hari ini.

Orang ramai terutamanya pengguna media sosial diseru supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes itu.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.

Pihak istana juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Tun Musa dan isteri turut merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga Allahyarhamah serta mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat.

Dalam pada itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada 14 Ogos ini, selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh Sabah.

Tun Musa menggalakkan umat Islam untuk hadir ke majlis berkenaan manakala mereka yang bukan beragama Islam disaran berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM