(Datuk Seri Anwar menerima kunjungan dari Shaykh Mufti Ismail Menk, Shaykh Muhammad
Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Shaykh Wael Ibrahim dari The Aware Academy,
Australia, di Putrajaya, semalam/FOTO FB Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR, 22 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala Islamofobia yang membarah di negara luar.
"Menyingkap soal fahaman agama yang melampau, tentunya ini berpangkal pada soal pendidikan, dan bagaimana masyarakat kita dididik dan diasuh.
"Sering diingatkan bahawa sayugia (sepatutnya) kita menjadi pendakwah dan bukan penghukum.
"Justeru, penting untuk diketengahkan fahaman yang lebih sederhana, serta membudayakan Adab al-Ikhtilaf dalam menyikapi perbedaan pandangan," menurutnya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata langkah itu akan menjadi kebijakan (pengetahuan) yang spesifik dalam Kementerian Luar Negeri.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shaykh Mufti Ismail Menk
di Putrajaya malam tadi/FOTO FB Anwar Ibrahim)
Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam meraikan Shaykh Mufti Ismail Menk, Shaykh Muhammad Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Shaykh Wael Ibrahim dari The Aware Academy, Australia, di Putrajaya.
“Saya terharu dengan rasa senang dan nyaman Mufti Menk dan rombongannya sepanjang keberadaan mereka di Malaysia. Beliau berhasrat untuk kembali dengan lebih kerap ke sini.
“Saya nyatakan bahawa pintu kita sentiasa terbuka dan mudah-mudahan negara tercinta ini sentiasa mendapat limpahan berkat dari Allah SWT,” katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhta, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek , serta tokoh-tokoh ilmuwan agama tempatan.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri dan hadirin mengambil peluang bermuzakarah (berbincang) bersama Mufti yang menyentuh beberapa ittijahat (jalur pemikiran) umat semasa.