fb fb fb fb fb

Tanaman jagung berskala besar, bantu penyelesaian isu kekurangan bekalan makanan ayam

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Kaedah penanaman jagung berskala besar boleh dilaksanakan sebagai penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan makanan ayam.

Saranan tersebut disuarakan Penganalisis Ekonomi Datuk Dr. Madeline Berma.

Beliau yang juga Profesor Kehormat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berpandangan sudah tiba masanya agensi berkaitan merangka pelan strategik dan memulakan projek tanaman jagung secara komersial di kawasan berpotensi.

(Profesor Kehormat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Dr. Madeline Berma)

"Kalau kita tidak menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang, dari segi pengeluaran dedak ayam itu, sampai bila-bila kita akan bergantung kepada dedak import ini yang kita perlukan untuk perancangan jangka masa panjang.

"Sekarang amat terdesak, ini adalah respon kerajaan kepada masalah semasa tapi untuk jangka masa panjang, kita perlu mengubah cara pengeluaran ekonomi kita, pergantungan kita, apa yang kita perlu import dan apa yang kita boleh eksport," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Tambah Dr. Madeline, langkah tersebut juga dilihat proaktif sebagai persediaan mengurangkan pergantungan terhadap jagung import.

Sekali gus berupaya menjadi negara pengeluar yang menghasilkan kualiti jagung seperti yang diperlukan untuk dibuat dedak makanan haiwan ternakan.

Media Baharu